Wednesday, 18 June 2014

mai's INSPIRATION

salah satu sumber inspirasi aku ialah abang aku,
Muhammad Afiq bin Nordin.  Dia seorang abang yang sentiasa menunjukkan contoh yang terbaik
untuk adik-adiknya.  Dan dia juga telah menunjukkan contoh yang baik untuk menjadi anak yang soleh terhadap kedua ibu bapanya.

hari tu, aku ada beli buku " Cerita Cinta Ahmad Ammar".  Aku nak beli buku tu, salah satu sebabnya untuk dijadikan rujukan assignment Personality nanti.  tapi aku tak habis baca lagi, cuma takat yang aku baca, terdapat persamaan antara arwah abang aku dengan arwah Ammar.  Cuma arwah Ammar telah memberi satu contoh ikutan kepada ramai pemuda-pemudi di luar sana termasuk aku.  kesimpulannya, kedua-dua jejaka ni sedikit-sebanyak telah menjadi sumber inspirasi aku.

MUHAMMAD AFIQ BIN NORDIN dan AHMAD AMMAR BIN AHMAD AZAM
apakah persamaan mereka?
(pada pandangan aku)


mereka merupakan pelajar yang cemerlang akademiknya,
ketika SPM, arwah abang dapat 7A1 4A2 1B3, arwah Ammar, pelajar kedua terbaik keputusan cemerlang SPM di MTD (MTD ni antara yang top jugak, dulu sbp juga, tapi rasanya status tu sudah bertukar, wallahua'lam), rasanya dapat 9A+ 1A.  

dan mereka menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi, dalam bidang yang agak jauh kaitannya,
dan dikatakan orang jauh kena-mengena dengan keputusan SPM yang diperoleh. Arwah abang meneruskan pengajian dalam bidang Usuluddin di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan. Arwah Ammar dalam bidang sejarah dan ketamadunan di Universiti Marmara, Turki.

walaubagaimanapun, Allah S.W.T. lebih sayangkan mereka,
mereka berdua meninggal dunia ketika mereka masih menuntut di universiti masing-masing,
dan kedua-duanya mengalami kemalangan,
Arwah abang meninggal hari Jumaat, 18 Jun 2010 di Nilam Puri. Dia dilanggar oleh kereta persendirian selepas solat jumaat dan dibawa ke hospital. Dia menghembuskan nafas terakhir jam 6.18 petang.  Arwah Ammar meninggal selepas dilanggar ambulans dalam perjalanan mengadakan kelas

Arwah abang merupakan anak lelaki sulung dalam keluargaku, dan dia merupakan anak harapan ibubapaku dan abang yang memberi contoh yang terbaik untuk adik-beradiknya, arwah abang juga melunaskan tanggungjawabnya terhadap ibubapaku untuk menjadi anak yang soleh. dan arwah Ammar merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarganya, dan dia menggalas tanggungjawab yang berat untuk menjadi anak yang soleh kepada ibubapanya. sebab anak lelaki inilah yang sebenarnya yang harus mengutamakan ibubapa mereka dan menjaga mereka sehingga akhir hayat mereka ( perempuan perlu mengutamakan suami dan keluarga suami, tetapi masih boleh berkhidmat dengan ibubapa sendiri )

Arwah abang dan arwah Ammar, kedua-duanya meninggal tanpa keluarga di sisi.  Ketika kemalangan, arwah abang berada di Kelantan, sedangkan keluargaku berada di Negeri Sembilan. Arwah Ammar meninggal di Turki, sedangkan keluarganya berada di Malaysia.  Jenazah arwah abang diuruskan di Kelantan, tetapi dikebumikan di Negeri Sembilan.  Jenazah Ammar diuruskan di Turki dan dikebumikan di tanah perkuburan di Turki.  dan, Alhamdulillah dengan izin-Nya, arwah abang dan arwah Ammar, diketemukan dengan ibubapa masing-masing sebelum dikebumikan.

Ketika pengurusan jenazah, kedua-dua mereka diziarahi oleh sahabat handai, kenalan yang sangat ramai.  Jenazah arwah abang diziarahi ketika di Nilam Puri dan ketika di Kuala Pilah.  Keluarga, Keluarga terdekat, jiran tetangga, rakan-rakan sekolahnya, rakan-rakan universitinya datang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah abang.  Arwah Ammar diziarahi oleh ramai orang di Turki sama ada yang mengenalinya atau tidak, kerana dia merupakan insan istimewa, orang Malaysia pertama yang dibenarkan dikebumi di tanah perkuburan Eyub Sultan di Istanbul yang turut menempatkan 60 pusara sahabat Nabi.  Kedua-duanya diberi penghormatan diziarahi orang ramai untuk memberi penghormatan terakhir kepada mereka.

Hal ini dibuktikan oleh, semasa hayat mereka, kedua-duanya merupakan orang disenangi ramai.  Arwah abang ketika hidupnya, mudah bergaul dengan sesiapa sahaja, tak kira muda mahupun tua, lelaki mahupun wanita tetapi masih menjaga batasannya.  Mudah untuk membantu orang, terutama dari segi akademik dengan mengajar rakan-rakannya.  Arwah Ammar, juga disenangi orang kerana mudah bergaul dengannya.  Dia juga bergiat aktif dalam menjalankan misi-misi kemanusiaan dan tidak lokek menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.  Dan ketika arwah Ammar kemalangan, arwah dalam perjalanan ke kelas utuk mengajar.

Dan persamaan yang ketara yang aku nampak pada kedua-duanya, pemergian mereka meninggalkan kesan yang sangat mendalam.  (mendalam yang dialami oleh ibu yang melahirkan mereka tidak sama dan tidak akan pernah sama dengan kesan yang dirasai oleh orang lain).  Pemergian arwah abang, membuatkan hubungan adik-beradik aku yang dulunya kuat bergaduh, bersatu kembali. (aku rasa sangat ralat dan sedih untuk membuatkan hubungan adik-beradik ni kembali pulih, abangku perlu pergi).  Pemergian arwah Ammar pula melahirkan lagi banyak Ahmad Ammar di luar sana dan pemergiannya sememangnya sebagai seorang pencetus ummah bagi golongan muda khususnya.  Sungguh, perancangan Allah itu sangat rapi, dan semua itu adalah takdir yang Allah tetapkan untuk manusia yang masih hidup di muka bumi ni.

Mungkin banyak lagi persamaan mereka, cukuplah sampai di sini untuk aku kongsikan.  Pemergian mereka mengingatkan aku, MAUT itu bukan hanya ntuk orang tua, tetapi untuk mereka yang bernyawa.

Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan mereka berdua di alam barzakh sana,
semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan roh-roh orang yang beriman.

Al-Fatihah
untuk MUHAMMAD AFIQ BIN NORDIN
dan AHMAD AMMAR BIN AHMAD AZAM


Allahyarham Muhammad Afiq bin Nordin
Allahyarham Ahmad Ammar bin Ahmad Azam





wassalam.





No comments:

Post a Comment